
Kota Bharu, 4 Julai 2026 – Tiada kata-kata yang mampu untuk dilontarkan. Hanya senyuman yang terpancar di wajah anak muda ini. Di sebaliknya, tersimpan beban kehidupan yang tidak sepatutnya ditanggung pada usia semuda ini.
Pelajar Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Kota Bharu, Ardini Fatimah binti Sabaruddin, hadir dengan satu impian yang cukup besar, iaitu meneruskan pengajian dalam Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak (BE102) demi merealisasikan hasrat arwah ayahnya yang ingin melihat dia bergelar seorang guru.
Namun, perjalanan menuju impian itu bukanlah mudah. Beberapa bulan lalu, Ardini kehilangan insan yang menjadi tonggak keluarga apabila ayahnya meninggal dunia. Pemergian tersebut bukan sahaja meninggalkan luka yang mendalam, malah meragut sumber pendapatan utama keluarga kerana arwah bekerja sendiri.
Dalam masa yang sama, adik Ardini pula sedang bertarung dengan penyakit buah pinggang dan telah menerima rawatan di hospital sejak sekian lama.
Keadaan itu menyebabkan ibunya memberi sepenuh perhatian menjaga adiknya, sekali gus menjadikan kehidupan keluarga mereka semakin mencabar. Kini, keluarga hanya bergantung kepada bantuan zakat yang diterima bagi menampung keperluan harian.
Di sebalik segala ujian itu, Ardini tidak pernah memilih untuk mengalah.
Dengan sokongan ahli keluarga, termasuk ibu saudara yang sanggup menghantarnya ke Kelantan bagi memulakan kehidupan baharu sebagai mahasiswa, Ardini tetap bertekad untuk mendaftar sebagai pelajar KPTM Kota Bharu pada sesi pengambilan Julai 2026.
Baginya, pendidikan bukan sekadar laluan untuk mengubah masa depan, tetapi juga amanah yang perlu diteruskan demi memenuhi impian arwah ayahnya.
Prihatin terhadap situasi yang dihadapi, Kolej Poly-Tech MARA Sdn. Bhd. (KPTMSB) tampil menghulurkan bantuan sebagai tanda sokongan kepada Ardini agar beliau dapat memulakan pengajian dengan lebih yakin dan tenang.
Ketua Pegawai Eksekutif KPTMSB, YBhg. Tn. Hj. Radzuan bin Razali, berkata setiap anak yang mempunyai kesungguhan untuk menuntut ilmu berhak diberikan peluang tanpa mengira latar belakang atau cabaran hidup yang dihadapi.
“Di KPTMSB, kami percaya bahawa tiada impian yang sepatutnya terkubur hanya kerana kesempitan hidup. Pendidikan mampu mengubah kehidupan, dan menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan anak-anak seperti Ardini terus melangkah mengejar cita-cita mereka,” katanya.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan KPTMSB dalam memastikan kebajikan pelajar sentiasa menjadi keutamaan, di samping memperkukuh peranan institusi sebagai sebuah organisasi yang bukan sahaja menyediakan akses kepada pendidikan berkualiti, malah sentiasa prihatin terhadap kesejahteraan masyarakat.
Semoga langkah pertama Ardini di KPTM Kota Bharu menjadi permulaan kepada sebuah perjalanan yang akan mengubah kehidupannya serta menjadi hadiah paling bermakna buat arwah ayah yang sentiasa mengimpikan kejayaannya.




