Skip to content

UPTM, KPTM IPOH CIPTA KECEMERLANGAN DI HARI ANUGERAH PENDIDIK MARA 2026

Kuala Lumpur, 30 Jun 2026 – Hari Anugerah Pendidik MARA 2026 menjadi simbol penghargaan tertinggi kepada warga Majlis Amanah Rakyat (MARA) atas dedikasi serta sumbangan berterusan dalam melahirkan generasi yang mampu menjadi pemimpin, pemikir dan pencipta yang mampu mencorakkan masa depan.

Majlis yang dirasmikan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Asyraf Wajdi Dusuki ini menyaksikan barisan penerima anugerah dari Kolej Poly-Tech MARA Sdn. Bhd (KPTMSB) dalam kategori Anugerah Pendidik Cemerlang iaitu Dr. Mazeni Binti Ismail, Dekan Fakulti Pendidikan dari Kolej Poly-Tech MARA Kota Bharu. Beliau diiktiraf atas sumbangan cemerlang dalam pembangunan Smart Classroom, penghasilan modul digital pendidikan awal kanak-kanak, penyelidikan bersama KEMAS Malaysia serta pelbagai inovasi yang menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Seterusnya, Ts. Nurul Aini Binti Saruni, Pensyarah Sains Komputer, Kolej Poly-Tech MARA Ipoh. Beliau telah menghasilkan pelbagai inovasi digital dalam pengajaran termasuk aplikasi SMART AR, Code Conquer dan SMARTSQL, di samping meraih pengiktirafan penyelidikan serta aktif memimpin program khidmat masyarakat dan pembangunan pelajar.

Penerima ketiga bagi anugerah yang sama ialah Dr. Nadiah Binti Yusof, Pensyarah Kanan Sains Komputer, Universiti Poly-Tech Malaysia. Kepakaran beliau dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI) telah diterjemahkan melalui pembangunan modul AI, projek penyelidikan MARA EduChat, inovasi digital serta kerjasama akademik di peringkat nasional dan antarabangsa.

Manakala bagi kategori Anugerah IPMA terbaik, Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) dan Kolej Poly-Tech MARA Ipoh, cemerlang sebagai penerima anugerah tersebut.

Semoga pengiktirafan ini menjadi pemangkin semangat untuk meneruskan legasi kecemerlangan dalam bidang pengajaran, penyelidikan, inovasi, khidmat masyarakat serta pembangunan pendidikan negara.