LATAR BELAKANG & SEJARAH
Kolej Poly-Tech MARA Sdn. Bhd. (KPTMSB)
Kolej Poly-Tech MARA Sdn. Bhd. (KPTMSB) ialah sebuah syarikat pendidikan milik penuh MARA Corporation Sdn. Bhd. (MARA Corp) yang menguruskan rangkaian institusi pendidikan KPTM dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM). KPTM sendiri merupakan IPTS yang ditubuhkan di bawah Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555).
Sejarah Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) bermula dengan penubuhan Maktab Sains MARA (MSM) Kuantan pada 16 September 1983 menggunakan model Kolej Komuniti (Junior College) di Amerika Syarikat. Sepanjang kewujudannya, MSM Kuantan lebih dikenali sebagai MARA Community College (MCC) Kuantan yang mengendalikan program American Associate Degree (AAD), program ijazah berkembar dengan 165 universiti di Amerika Syarikat. MSM Kuantan dikelolakan oleh Yayasan Pelajaran MARA (YPM), syarikat milik penuh MARA.
Berikutan kejayaan cemerlang sepanjang pengendalian program AAD, YPM telah menubuhkan kolej kedua pada 1987 dikenali sebagai Maktab Sains MARA (MSM) Kuala Lumpur yang mengendalikan program “A Level” yang mengendalikan kursus persediaan bagi pelajar yang akan menyambung pelajaran di United Kingdom.
Pada 1988, ditubuhkan pula Maktab Yayasan Pelajaran MARA (MYPM) di Cheras, Kuala Lumpur dan kemudiannya dipindahkan ke kampus tetap di Bangi, Selangor pada 1990. MYPM menjalan program pendidikan sekolah menengah berasrama penuh swasta menggunakan model Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) bagi tingkatan 1 hingga 5.
Kolej Yayasan Pelajaran MARA Trolak (Perak) ditubuhkan pada 21 Februari 1993 bagi menjalankan program ‘foundation’ dan ijazah tahun pertama universiti sebelum pelajar menyambung pengajian selama 2 tahun lagi di universiti-universiti Australia. Seterusnya pada 1994, Kolej Yayasan Pelajaran MARA Kota Bharu ditubuhkan bagi menjalankan program Pra Sains secara kerjasama dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan program Matrikulasi Universiti Putra Malaysia (UPM).
Pada 1996, semua kolej yang bernaung di bawah YPM ditukar nama kepada Kolej Yayasan Pelajaran MARA (KYPM). KYPM diasaskan sebagai sebuah institusi pengajian tinggi swasta di bawah Akta Institut Pengajian Tinggi Swasta Tahun 1996 (Akta 555) pada September 2003.
Pada 1 September 2003, pengurusan KYPM telah diambilalih oleh Kolej Poly-Tech MARA Sdn. Bhd. (KPTMSB). Pada 1 Januari 2004, empat kampus Akademi Infotech MARA (AIM) telah diserap di bawah pengurusan KPTM Sdn. Bhd.
Pada 15 Oktober 2015, Kolej Poly-Tech MARA Kuala Lumpur telah dinaiktaraf menjadi Kolej Universiti Poly-Tech MARA. KUPTM yang ditunjangi oleh tiga fakulti dan dua institut, menawarkan 30 program pengajian di peringkat diploma, profesional, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah.
Pada 6 Januari 2023, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) secara rasminya telah meluluskan pendaftaran Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) sebagai institusi pendidikan tinggi swasta bertaraf universiti.
KPTM Sdn. Bhd. menguruskan satu universiti, Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) dan enam kampus Kolej Poly-Tech MARA (KPTM);
• KPTM Bangi
• KPTM Kota Bharu
• KPTM Kuantan
• KPTM Alor Setar
• KPTM Ipoh
• KPTM Batu Pahat
Kini Kolej Poly-Tech MARA Sdn. Bhd. (KPTMSB) adalah sebuah institusi pendidikan milik penuh MARA Corporation Sdn Bhd (MARA Corp) yang menawarkan 53 program pengajian di peringkat asasi, diploma, ijazah, pasca siswazah dan pengajian professional.
Antara bidang pengajian yang ditawarkan di UPTM dan KPTM ialah Teknologi Maklumat, Sains Komputer, Perakaunan, Perniagaan, Kejuruteraan, Pendidikan, Sains Kesihatan, Multimedia Kreatif, Sains Sosial dan Bio-Industri.