BHarian Online | 7 Oktober 2019 | KUPTM sasar jadi universiti penuh Oktober 2020
Rina berkata, KUPTM kini berada pada tahap 80 peratus untuk mencapai status universiti penuh. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
PUTRAJAYA : Kolej Universiti Poly-Tech MARA Kuala Lumpur (KUPTM), institusi pengajian tinggi milik MARA dijangka mendapat status universiti penuh pada Oktober tahun depan.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata KUPTM kini berada pada tahap 80 peratus untuk mencapai status itu berdasarkan perkembangan dalam bidang akademik, penyelidikan serta program yang ditawarkan.
Katanya, komitmen itu turut diserlahkan melalui penyusunan semula jabatan akademik agar dapat memberi lebih fokus kepada program pengajian pasca siswazah dan prasiswazah, termasuk menggalakkan kakitangan akademik menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) melalui Skim Sambung Belajar.
“MARA dan kementerian komited bagi mencapai komitmen perkembangan akademik, penyelidikan, inovasi, aktiviti dan pembabitan pelajar di peringkat nasional dan antarabangsa yang diserlahkan bagi mencapai status universiti penuh dalam tempoh disasarkan,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas Konvokesyen KUPTM Keempat di sini hari ini. Yang turut hadir, Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf dan Naib Canselor KUPTM, Prof Madya Dr Darulihsan Abdul Hamid.
Konvokesyen Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) dan KUPTM kali ini menyaksikan 5,279 graduan termasuk 1,340 graduan KUPTM menerima Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana serta julung kali menganugerahkan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan kepada tiga graduan Nigeria.
Pada majlis sama, Rina menyampaikan Anugerah Berlian Ijazah KUPTM kepada Siti Nurul Nadiya Othman, graduan jurusan Komunikasi dan Korporat, manakala Anugerah Berlian Diploma diterima Hasanal Daniel Ismail Jamaludin (Sains Komputer).
Rina berkata, setakat ini seramai 17 pensyarah KUPTM sedang menyambung pengajian di peringkat PhD melalui Skim Sambung Belajar.
Sehingga kini, KPTM menghasilkan seramai 5,5913 graduan, dengan kebolehpasaran graduan berdasarkan Laporan Sistem Pengesan Graduan KPTM 2018/2019 adalah 75 peratus.
Ia membabitkan 45 peratus bekerja, 28 peratus menyambung pengajian, manakala dua peratus menceburi bidang keusahawanan.
Tiga kursus baharu juga akan diwujudkan selaras usaha menaik taraf KUPTM iaitu Ijazah Pengurusan Sukan, Psikologi Industri dan pasca siswazah Kepimpinan Dalam Pendidikan.
Sumber : KUPTM sasar jadi universiti penuh Oktober 2020