+603-9179 5600
marketing[at]kptm.edu.my

BHarian Online | 02 Mac 2019 | Jakim Teliti Dakwaan Vaksin Imunisasi Tidak Halal

TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh merasmikan Program ‘Moh Sambung Belajar 2019’ anjuran Kolej Polytech Mara (KPTM) Kuantan, hari ini

KUANTAN: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan meneliti dakwaan kewujudan elemen tidak halal dalam vaksin imunisasi yang menjadi pertikaian segelintir ibu bapa yang tidak mahu anak mereka disuntik dengannya. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, berkata pihaknya akan membantu pihak berkuasa merangka dasar mewajibkan semua kanak-kanak disuntik dengan mengeluarkan fatwa mengenainya selepas melakukan kajian.

Katanya, wujud isu bahawa ada elemen tidak halal dalam medium vaksin menyebabkan ada segelintir ibu bapa tidak mahu memberikan suntikan berkenaan kepada anak masing-masing. “Kita akui ia adalah hak mereka tetapi kalau melihat dari gambaran lebih besar...ia juga boleh menyebabkan penyakit merebak (sekiranya kanak-kanak tidak disuntik vaksin). “Sebab itu, kita perlu lihat berkaitan fatwa supaya akhirnya siap satu dasar yang memberi kebaikan kepada semua,” katanya pada media selepas merasmikan Program ‘Moh Sambung Belajar 2019’ anjuran Kolej Polytech Mara (KPTM) Kuantan di sini, hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah dilaporkan berkata, kerajaan sedang mengkaji kemungkinan mewajibkan hanya kanak-kanak yang sudah menerima suntikan vaksin imunisasi dibenar memasuki sesi persekolahan. Isnin lalu, akhbar melaporkan beberapa pihak termasuk Persatuan Doktor Islam Malaysia dan I-MEDIK Malaysia menyarankan langkah itu dilaksana bagi melindungi kesihatan kanak-kanak daripada penyakit yang boleh dicegah seperti difteria dan campak. Ini berikutan kes seorang kanak-kanak dua tahun di Johor yang disahkan tidak pernah menerima suntikan vaksin difteria meninggal dunia minggu lalu akibat penyakit itu. Lima lagi kanak-kanak yang dilaporkan pernah berada dan berhubung secara terus dengan mangsa juga disahkan positif penyakit difteria.

Dalam pada itu, Fuziah berkata, pihaknya masih meneliti draf pindaan Akta Kebencian Agama dan Kaum yang mungkin tidak dapat dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat bulan ini. “Ia masih dalam proses penelitian di peringkat Pejabat Peguam Negara dan selepas siap ia akan diserahkan kepada kementerian terbabit yang turut menelitinya sebelum boleh dibentangkan ke Parlimen. “Mungkin pada sesi Jun depan atau selepas itu, kita mahu memastikan undang-undang berkenaan benar-benar lengkap,” katanya.

Sumber Artikel : Berita Harian Online

Ibu Pejabat
Kolej Poly-Tech MARA 

Tingkat 4 & 5, Jalan 7/91,
Taman Shamelin Perkasa,
Cheras, 56100, Kuala Lumpur.
Tel : 03-9179 5600

Hotline Kemasukan
Tel : 03 9179 5637/39
E-mel : marketing [at] kptm.edu.my

LOKASI IBU PEJABAT KPTM

Waze   Google Maps 
© Hak Cipta Terpelihara 2025 Kolej Poly-Tech MARA.
Notis PDPA, Penafian, Polisi Privasi, Polisi Keselamatan dan Hakcipta
Diselenggara oleh [email protected]
 

Search