Print
PDF
21
Jul

Sinar Harian - 21 Julai 2017 - Sindir di media sosial tindakan tidak matang

Written by webmaster on 21 July 2017.

jul2017-media-sosial-renggut-silatulrahimDr Sharifah Syahirah Syed Sheikh


KUALA LUMPUR -  Segelintir pengguna media sosial di negara ini dianggap tidak matang apabila menjadikan kemudahan teknologi itu  tempat meluahkan sindiran ekoran rasa tidak puas hati.

Pensyarah Kanan Sekolah Pengajian Kemanusiaan dan Sains Sosial Kolej Universiti Poly -Tech Mara Kuala Lumpur (KUPTM), Dr Sharifah Syahirah Syed Sheikh berkata, situasi itu dianggap tidak matang kerana melanggar etika perhubungan dengan manusia.

Menurutnya, apabila berlaku rasa tidak puas hati, pengguna media sosial akan berkongsi dalam grup aplikasi WhatsApp dan menyindir dalam laman sosial, Facebook.

"Tingkah laku ini kurang molek. Sedangkan jika rasa tidak puas hati, adalah lebih baik berhubung secara langsung dengan individu itu," katanya pada Forum Sembang Siswa dengan tajuk 'Media Sosial Renggut Silatulrahim' di KUPTM, di sini hari ini.

Program anjuran bersama Sinar Harian dengan KUPTM, menampilkan  dua lagi ahli panel iaitu Ketua Pengarang Sinar Harian, Norden Mohamed dan Yang diPertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) KUPTM Nurul Jannah Athirah Zainal.

Forum itu dikendalikan oleh moderator, Fazrul Radzi Shahrom .

Beliau berkata, media sosial juga berupaya memberi ancaman kepada masyarakat sekiranya tidak digunakan dengan betul.

"Kita dapat lihat penggunaan bahasa yang bersifat kasar, lucah, menghentam individu lain. Ini amat mendukacitakan dan dikhuatiri oleh banyak pihak," katanya.

Dr Sharifah Syahirah berkata,  penggunaan media sosial yang baik dalam kalangan pengguna akan membentuk  peradaban manusia yang baik.

"Peradaban ini merangkumi segala perkara, di mana ia mencipta sejarah bagaimana tingkah laku manusia sekarang digunakan secara terus menerus untuk generasi akan datang," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna media sosial di negara ini menggunakannya dengan beretika dan mengikut protokol dalam membentuk peradaban yang hebat.