Cetak
PDF
09
Apr

KPTM Meriahkan Majlis Perasmian Maktab Rendah Sains MARA Sandakan, Sabah

Oleh Seksyen Komunikasi Korporat on 09 April 2014.

SANDAKAN, 5 APRIL 2014 – Seramai 1000 orang tetamu telah membanjiri perkarangan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sandakan, Sabah, sempena majlis perasmiaan MRSM itu baru-baru ini. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB. Dato’ Seri Haji Mohd Shafie Bin Haji Apdal, Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah (KKLW). Tetamu kehormat yang turut hadir ialah YB. Datuk Haji Zakaria Bin Mohd Edris, Pembantu Menteri Kementerian Kerajaan Tempatan & Perumahan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Gum-Gum, mewakili Ketua Menteri Sabah, YB. Datuk Bung Mokhtar Bin Radin, Ahli Parlimen Kinabatangan, YBhg. Datuk Seri Ibrahim Bin Muhamad, Ketua Setiausaha KKLW dan YBhg. Datuk Ibrahim Bin Ahmad, Ketua Pengarah MARA.

MRSM Sandakan merupakan MRSM ketiga dibuka di Negeri Sabah dan terletak di Hub Pendidikan Sandakan, Batu 10 Sandakan, Sabah. Maktab ini siap dibina pada tahun 2012 dengan keluasan 63 ekar dan memulakan operasi pada Januari 2013. Di awal operasinya, MRSM Sandakan menerima seramai 140 pelajar sulung bagi Tingkatan 1 dan 4 dan selepas setahun beroperasi, jumlah pelajar meningkat kepada 499 orang. Dengan kekuatan tenaga pengajar seramai 57 orang dan dibantu oleh warga sokongan seramai 18 orang, MRSM Sandakan turut dilengkapi dengan frasarana dan kemudahan pembelajaran terkini serta persekitaran kondusif untuk menuntut ilmu.

Bagi melahirkan sokongan dan menzahirkan rasa bangga kepada MARA, Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) turut hadir bagi sama-sama meraikan kejayaan penubuhan MRSM Sandakan, Sabah. KPTM telah dihadiri oleh En. Zulkifli Bin Mohd Sidek, Pengarah KPTM Semporna mewakili Ketua Pegawai Eksekutif KPTM serta barisan Ahli Pengurusan KPTM Semporna.

Seluruh warga KPTM mengucapkan tahniah dan syabas dengan lakaran kejayaan ini. Semoga institusi pendidikan menerusi pembelajaran di MRSM mampu menyediakan bakal pemimpin pelapis muda negara yang berkualiti dan cemerlang di masa akan datang.

Disediakan oleh:
Seksyen Komunikasi Korporat