KPTM Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Dengan MAICSA
KPTM MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MOU) DENGAN MALAYSIAN INSTITUTE OF CHARTERED SECRETARIES AND ADMINISTRATORS (MAICSA)
KUALA LUMPUR, 8 Jun 2012 - Bagi meningkatkan lagi taraf program pendidikan di KPTM, KPTM menerusi Fakulti Pengajian Profesional telah mengorak langkah proaktif dengan menjalinkan hubungan kerjasama pendidikan tinggi dengan Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bersama The Malaysian Institute of Chartered Secretaries and Administrators (MAICSA). MAICSA adalah merupakan satu-satunya organisasi di Malaysia yang mengendalikan bidang profesional dalam Pentadbiran dan Kesetiausahaaan Syarikat.
Memorandum Persefahaman ini adalah merupakan usahasama kolaborasi program dalaman KPTM dan program Diploma Profesional Pentadbiran Korporat (PDCA) PDCA-MAICSA. Ia adalah usaha yang lebih kompetitif dan memberi nilai tambah kepada program KPTM.
MOU ini ditandatangani oleh Presiden KPTM, Dato’ Haji Yusoff Bin Harun dan Presiden MAICSA, Dr Cheah Foo Seong sambil disaksikan oleh Pengerusi KPTM, Dato’ Sohaimi Bin Shahadan.
Dengan adanya program usahasama ini, seramai 200 orang pelajar yang bakal mendaftar di KPTM dalam PDCA akan menerima dua diploma sekaligus apabila tamat pengajian.
Perjanjian ini adalah berhasrat untuk jalinan kerjasama untuk mempertingkatkan lagi kualiti akademik dan pendidikan graduan lulusan KPTM dalam Diploma Profesional Pentadbiran Korporat (PDCA) yang dianugerahkan oleh MAICSA dengan diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dalam bidang Pengurusan Perniagaan dan Diploma Perakaunan.
Berikutan itu juga, KPTM akan dapat menambah bilangan graduan dalam bidang profesional khususnya di dalam bidang Pentadbiran dan Kesetiausahaan Syarikat yang setanding dengan bidang-bidang profesional yang lain dan menjadi pilihan utama bagi pelajar yang ingin mengikuti program-program profesional.
Setakat ini, KPTM mempunyai lima (5) kampus cawangan yang menjalankan program Diploma In Business Management dan Diploma In Accountancy iaitu kampus cawangan Bangi, Alor Setar, Kota Bharu, Kuantan dan Semporna Sabah.
Secara khususnya, program usahasama ini memberi manfaat kepada pelajar yang berminat mengikuti program terbabit bagi dua program diploma apabila mereka dibenarkan memohon pengecualian peperiksaan bagi enam subjek asas dalam program PDCA. Pelajar ini hanya perlu mengikuti dua mata pelajaran sahaja yang membolehkan pelajar layak mengikuti pengajian di samping mata pelajaran yang sedia ada menerusi dua program diploma kendalian KPTM.
Disediakan oleh
Unit Komunikasi Korporat




