Majlis Amanat Presiden Sempena Sambutan Hari Pendidik KPTM 2012 Rai Pendidik KPTM
KUALA LUMPUR, 16 Mei 2012 - Sempena memperingati jasa guru yang telah banyak berkorban demi menyalurkan pendidikan kepada anak bangsa, Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) tidak ketinggalan meraikan hari tersebut di KPTM bagi meraikan dan menghargai para pendidik KPTM dengan mengadakan Majlis Amanat Presiden Sempena Hari Pendidik KPTM 2012.
Majlis tersebut diadakan secara tele-conferencing yang disiarkan secara langsung di semua kampus cawangan KPTM diseluruh Negara. Majlis disempurnakan oleh Presiden KPTM, Dato’ Haji Yusoff Bin Harun (D.P.M.S., A.M.N.).
Bertemakan Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara, dalam amanatnya, beliau berpesan kepada semua tenaga pengajar di KPTM agar menyumbangkan komitmen yang terbaik kepada pelajar-pelajar dan menyampaikan ilmu dengan penuh keikhlasan.
“Galas cabaran yang diberikan dengan penuh dedikasi dengan amalan sistem pengurusan berkualiti. Lakukan perubahan mindset dan jati diri pendidik dengan mendokong nilai-nilai murni yang berasaskan keluruhan akal budi dan nilai keagamaan.”
Majlis diselitkan dengan bacaan sajak bertajuk “Guru Oh Guru”, bacaan ikrar Pendidik KPTM diketuai oleh Dekan dan Ketua Jabatan dan diakhiri dengan nyanyian dua buah lagu seiring dengan tema hari guru iaitu Guru Malaysia dan Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara.
Bagi menghargai jasa pendidik di KPTM, majlis dimeriahkan dengan pemberian jambangan bunga kepada wakil-wakil pendidik disampaikan oleh Presiden Majlis Perwakilan Pelajar, sambil disaksikan oleh Dato’ Presiden.
Disediakan oleh,
Unit Komunikasi Korporat




