Resolusi Baru IT Mantapkan Pengurusan ICT Kolej Poly-Tech MARA
CHERAS, 18 April 2012 – Bagi memantapkan lagi pengurusan sistem teknologi maklumat di KPTM, Jabatan Pengurusan Sistem Maklumat (JPSM) telah mengambil inisiatif proaktif dengan menganjurkan Bengkel Pengurusan dan Pemantapan Perkhidmatan ICT selama dua hari di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Ibu Pejabat kepada Eksekutif Sistem Maklumat dari seluruh kampus cawangan KPTM.
Tujuan utama bengkel ini diadakan adalah untuk menyelaraskan perancangan dan pengurusan ICT di setiap kolej cawangan. Pengisian bengkel ini adalah membincangkan Pelan Strategik ICT (ISP) yang akan dilaksanakan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan. Selain daripada itu, bengkel ini juga bertujuan bagi memastikan hala tuju dan perancangan KPTM dapat dikongsi serta dihayati bersama sekaligus dapat mempertingkatkan perkhidmatan ICT bagi mencapai objektif pelan perniagaan KPTM.
Pengurus JPSM, Encik Razali bin Mat Salleh telah memulakan bengkel dengan sesi pembentangan dengan mendedahkan strategi berdasarkan Global ICT Trends yang merangkumi Teknologi Virtualization, Cloud Computing, SAS/SOA, Outsourcing, Mobile Learning, Green IT dan Social Network. Selain itu, beliau juga berpendapat bahawa perkhidmatan ICT KPTM perlu selari dengan garis panduan yang telah ditetapkan oleh kerajaan dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) & Program Transformasi Ekonomi (ETP) serta MARA Transformation Plan, BPT Roadmap dan ISP MARA.
Peserta bengkel yang terdiri daripada Eksekutif Sistem Maklumat setiap cawangan telah membentangkan perancangan strategik ICT kampus cawangan masing-masing. Antara perkara yang difokuskan adalah berkaitan perkhidmatan/perkakasan sedia ada, penambahbaikan yang akan dijalankan serta isu-isu berbangkit dalam pengurusan ICT.
Selain daripada perbincangan berkaitan perkhidmatan dan infrastruktur, peserta bengkel juga telah didedahkan dengan Pengurusan Sistem Aplikasi, Pengurusan Laman Web serta Pengurusan Rangkaian dan Backup. Beberapa teknologi baru telah diperkenalkan dan dikongsi bersama antaranya berkaitan dengan Firewall, Desktop Virtualization dan lain-lain lagi.
Bengkel ini telah memberikan impak positif kepada peserta dalam menambahkan lagi ilmu pengetahuan sedia ada serta berkongsi masalah dan mencari penyelesaian terbaik. Berikutan itu, pihak JPSM telah menghasilkan satu resolusi baru sebagai garis panduan dalam memantapkan lagi perkhidmatan ICT di seluruh kampus cawangan KPTM.
Berikut adalah antara RESOLUSI yang telah dibincangkan dan akan dibawa kepada perhatian pihak pengurusan KPTM :-
- Penambahan talian internet lease line minimum 2Mbps di semua kampus cawangan
- Penambahan liputan Wi-fi meliputi sekurang-kurangnya 80 % area kampus
- Pembangunan Sistem baru secara outsourcing (CMS dan HR System)
- Semua pensyarah KPTM akan dibekalkan dengan kemudahan komputer riba
Aktiviti bengkel ini akan dijalankan dua kali setahun, dan bengkel seterusnya dijangka pada bulan Oktober 2012 bagi membincangkan perancangan aktiviti serta bajet untuk tahun 2013.
Disediakan oleh :
JABATAN PENGURUSAN SISTEM MAKLUMAT (JPSM)




