Program “JELAJAH SUKSES SPM 2012 “
SELAYANG, 14 April 2012 – Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Kuala Lumpur baru-baru ini telah mengadakan satu Program Tanggungjawab Sosial Korporat KPTM iaitu “Jelajah Sukses SPM 2012” yang bertempat di dewan serbaguna Sekolah Menengah Kebangsaan Ideal Height.
Program sehari yang dianjurkan oleh KPTM dengan melibatkan kira-kira 240 orang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Ideal Heights dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kepong ini telah dirasmikan oleh Pengerusi KPTM Dato’ Sohaimi Shahadan.
Sebagai tanda keperihatinan KPTM dalam menyalurkan mesej dan mendokong aspirasi kerajaan dalam menjana pendidikan Negara, program berbentuk motivasi ini diadakan bertujuan untuk memberikan suntikan motivasi dan semangat kepada pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM. Ceramah motivasi tersebut telah disampaikan oleh Timbalan Presiden Hal Ehwal Pelajar Dr. Wan Sabri bin Wan Hussin dan juga pensyarah Jabatan Matematik KPTM.
Antara pengisian program tersebut ialah ceramah motivasi mengenal potensi diri, bengkel latihan dalam kumpulan (LDK), kaedah belajar berkesan dan ceramah berkaitan peranan ibubapa dalam memberikan halatuju kepada anak-anak yang disampaikan oleh Pengerusi KPTM.
Turut hadir pada majlis perasmian adalah Pengetua SMK Ideal Heights, Pengetua SMK Kepong, YDP SMK Ideal Heights,Timbalan YDP SMK kepong dan ibubapa pelajar. – Juliana Yahya –
Disediakan oleh
Unit Komunikasi Korporat




