BENGKEL ASAS PENGURUSAN MAJLIS DAN PENGURUSAN MEDIA : UKK wujudkan Duta di setiap Kampus Cawangan
KUALA LUMPUR, 20 Mac 2012 – Satu Bengkel Asas Pengurusan Majlis dan Pengurusan Media Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) anjuran Unit Komunikasi Korporat (UKK) telah diadakan bagi memberi pendedahan kepada kakitangan KPTM dari seluruh kampus cawangan bekenaan cara dan teknik yang betul dalam mengendalikan majlis rasmi dan memberi publisiti melalui pengurusan media yang berkesan.
Bengkel ini sekaligus dapat meminimakan kecacatan majlis sekaligus memberi impak yang besar kepada imej KPTM.
Presiden KPTM, Dato’ Haji Yusoff bin Harun berkata teknik mengendalikan pengurusan majlis yang melibatkan protokol dan susun atur serta perhubungan bersama media perlu diterapkan kepada semua kakitangan KPTM termasuk yang berada di kampus cawangan. Ia adalah selaras dengan Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) yang diamalkan oleh KPTM.
Katanya, teknik pengurusan majlis dan protokol ini perlu dijadikan sebagai amalan kesantunan kepada semua kakitangan termasuk seluruh kampus cawangan KPTM di seluruh Malaysia.
Seramai 36 orang kakitangan KPTM di seluruh Negara menyertai bengkel ini yang mana wakil-wakil yang telah terpilih ini secara otomatik akan menjadi Duta Unit Komunikasi Korporat (UKK) di peringkat kampus cawangan / jabatan / bahagian dan unit di KPTM dan akan bertindak sebagai ‘liasson officer’ antara kampus cawangan dan Ibu Pejabat.
Secara tidak langsung, pegawai-pegawai ini akan bertindak sebagai pegawai yang akan mengendalikan pengurusan majlis dan pengurusan media di kampus-kampus cawangan dan akan dipilih menjadi Ahli Jawatankuasa Protokol dan Pengurusan Majlis apabila KPTM menganjurkan majlis-majlis rasmi, selain menjadi Duta Tetap UKK di peringkat cawangan/Jabatan/bahagian/unit.
Selain memberi pendedahan pengurusan majlis dan pengacaraan majlis, kursus ini turut memberi pendedahan kepada kakitangan kampus cawangan berkenaan cara berurusan dengan pihak media dan layanan kepada mereka semasa menghadiri majlis yang dianjurkan. Pihak media adalah penting sebagai medium yang memberikan publisiti percuma kepada organisasi.
Bengkel ini diadakan dua (2) hari mengandungi modul-modul seperti Pengurusan Acara, Protokol Majlis, Protokol Susun Atur Kedudukan, Salutasi, Protokol Sambutan Tetamu Khas (VVIP), Pengurusan Media, Pengacaraan Majlis, Fotografi Majlis Rasmi, Sesi beramah mesra dengan media.
Majlis perasmian pembukaan bengkel dirasmikan oleh Presiden KPTM, Dato’ Haji Yusoff Bin Harun. Manakala perasmian penutup disempurnakan oleh En Kassim bin Osman, Pengurus Kanan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia.
Kursus ini turut disertai oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) KPTM yang terlibat secara langsung dalam aktiviti pelajar. Turut hadir pada majlis perasmian pembukaan ialah En Saifulkahar Shariff, Pengurus Bahagian Jaminan Kualiti merangkap Ketua Pejabat Presiden, En Mohamad bin Abu Hasan, Pegawai Khas Pejabat Presiden dan Pn Faridah Hj Ahmad, Pengurus Unit Urus setia. – ATIQAH YAACOB / Foto: JULIANA YAHYA
Disediakan oleh
Unit Komunikasi Korporat




