Bengkel Resume - Temuduga Cemerlang Petua Berguna Hadapi Temuduga
KUALA LUMPUR , 19 Februari 2012 – Bagi menyokong dasar kerajaan yang mahu menumpukan pembangunan kredibiliti graduan IPT di pasaran kerja, KPTM mengambil inisiatif bekerjasama dengan Yayasan Bank Rakyat melalui penganjuran Bengkel Resume-Temuduga Cemerlang Yayasan Bank Rakyat yang melibatkan seramai 160 orang pelajar untuk lokasi ke-tiga di KPTM Kampus Cawangan Kuala Lumpur.
Pengerusi KPTM, Dato’ Sohaimi Shahadan yang hadir menyempurnakan majlis perasmian penutup bengkel berkata, gabungan kerjasama KPTM dan Yayasan Bank Rakyat ini merupakan inisiatif terbaik bagi memberi pendedahan kepada bakal graduan berkenaan teknik penulisan resume berkesan dan persediaan menghadapi temuduga sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
"Penganjuran ini adalah tepat pada masanya memandangkan kebanyakan graduan didapati gagal mendapatkan pekerjaan ketika di peringkat temuduga kerana kegugupan selain tidak bersedia untuk melalui proses temubual”, katanya
Menerusi jalinan kerjasama ini, Yayasan Bank Rakyat akan menjelajah ke seluruh kampus cawangan KPTM di seluruh Malaysia untuk menyampaikan bengkel ini. KPTM Kuala Lumpur merupakan destinasi ke-tiga penganjuran bengkel ini selepas KPTM Semporna dan KPTM Alor Setar.
Sementara itu, bagi Pengurus Hal Ehwal Pelajar, Mohd Yusoff Mat Ali berkata, jalinan kerjasama ini adalah untuk kali kedua selepas penyertaan pertama KPTM bersama Yayasan Bank Rakyat pada April tahun 2011 di KPTM Kuala Lumpur. Kerjasama dijalinkan untuk kali kedua pada tahun 2012 ini dan diadakan secara jelajah ke seluruh kampus cawangan KPTM di seluruh Malaysia.
Pemilihan untuk untuk membuat siri jelajah ini adalah berikutan daripada kepuasan hati di pihak Yayasan Bank Rakyat hasil penyertaan KPTM yang memberangsangkan.
Pengurus Perancangan Aktiviti Yayasan Bank Rakyat, Mushin Ismail amat berpuas hati dengan penyertaan KPTM dan ini adalah antara program yang terbaik untuk memberi pendedahan kepada pelajar mengenai dunia kerjaya disamping petua menempuhi sesi temuduga termasuk penulisan resume.
Bengkel seterusnya akan diadakan di KPTM Kuala Lumpur untuk Siri Kedua dan kampus cawangan Kota Bharu, Kelantan. – ATIQAH YAACOB. Foto: JULIANA YAHYA
Disediakan oleh
Unit Komunikasi Korporat




