Print
PDF
19
Sep

Konvokesyen KPTM KE-28; 4,052 Graduan Terima Ijazah, Diploma dan Sijil Profesional

PUTRAJAYA - Majlis Konvokesyen Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) kali ini menyaksikan seramai 4,052 orang graduan menerima Ijazah, Diploma dan Sijil Profesional masing-masing.

Pada Istiadat Konvokesyen pada kali ini, KPTM melakarkan sejarah apabila menyaksikan bilangan graduan yang paling ramai dan julung kalinya diadakan selama dua (2) hari. KPTM sangat berbangga dengan peningkatan bilangan ini kerana ia mencerminkan peningkatan prestasi dalam Pengajaran dan Pembelajaran dan secara tidak langsung ianya juga sebagai penunjuk kepada perkembangan dan kemajuan yang telah dicapai oleh KPTM.


Peningkatan bilangan ini juga sekaligus melonjakkan perangkaan pengeluaran tenaga kerja yang diperlukan oleh Negara, yang kini sedang melalui proses transformasi ekonomi, menuju status Negara maju.

Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) adalah terdiri daripada 9 buah kampus yang merupakan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) milik penuh Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Majlis Konvokesyen ini melibatkan graduan dari 7 kampus cawangan Kolej Poly-Tech MARA iaitu KPTM Kuala Lumpur, KPTM Bangi, KPTM Kuantan, KPTM Kota Bharu, KPTM Alor Setar, KPTM Ipoh, dan KPTM Batu Pahat yang mana keseluruhan kursus yang ditawarkan oleh KPTM sebanyak 55 kursus.



Daripada jumlah 4,052 orang graduan, seramai 932 graduan bergraduat pada Sidang 1 (15 Oktober 2011), 1092 graduan pada Sidang 2 (15 Oktober 2011), 1016 graduan pada Sidang 3 (16 Oktober 2011), dan 1010 graduan pada Sidang 4 (16 Oktober 2011).

Sempena Konvokesyen kali ini, dari jumlah tersebut 109 orang graduan telah terpilih untuk menerima hadiah dan Anugerah Kecemerlangan Pelajar bagi empat kategori iaitu seorang penerima Anugerah Pingat Emas, 73 penerima Anugerah Khas Presiden, 28 penerima Anugerah Pingat Perak, dan 7 orang penerima Hadiah Khas Ko-Kurikulum.

Anugerah Pingat Emas adalah anugerah tertinggi yang diberikan kepada pelajar berdasarkan pencapaian terbaik akademik serta aktif dalam bidang ko-kurikulum dan hendaklah dari kumpulan penerima Anugerah Perak dalam majlis graduasi yang sama.





Anugerah Pingat Perak diberikan kepada graduan terbaik akademik bagi setiap program. Bagi memperoleh anugerah ini, graduan perlu mendapat himpunan purata nilai gred (atau HPNG) sekurang-kurangnya tiga perpuluhan lima atau purata markah 70%.

Anugerah Khas Presiden diberikan kepada graduan yang berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh pengajian yang ditetapkan dengan mengekalkan himpunan purata nilai gred (atau HPNG) sekurang-kurangnya tiga perpuluhan lima atau purata markah 70% bagi setiap semester.

Hadiah Khas Kokurikulum diberikan kepada graduan yang telah mempamerkan pencapaian yang cemerlang dalam aktiviti kokurikulum sepanjang mengikuti pengajian di Kolej Poly-Tech MARA. Hadiah serta anugerah ini diberikan sebagai mengiktiraf kecemerlangan para graduan dalam bidang akademik mahupun kokurikulum.

Majlis diadakan empat sidang iaitu Sidang 1 pada sebelah pagi (15 Oktober 2011), Sidang 2 pada sebelah petang (15 Oktober 2011), Sidang 3 pda sebelah pagi (16 Oktober 2011), dan Sidang 4 pada sebelah petang (16 Oktober 2011). Majlis disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Y.Bhg. Dato’ Ibrahim Bin Muhamad (pada sesi Sidang 1, 15 Oktober 2011), Pengerusi MARA, YB Dato’ Seri Idris Bin Jusoh (pada sesi Sidang 2, 15 Oktober 2011), Ketua Setiausaha Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Y.Bhg. Dato’ Ibrahim Bin Muhamad (pada sesi Sidang 3, 16 Oktober 2011), dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Bin Ahmad (pada sesi Sidang 4, 16 Oktober 2011).

Presiden Kolej Poly-Tech MARA, Y.Bhg Dato’ Haji Yusoff bin Harun menyatakan pendidikan memainkan peranan utama untuk mengubah sosioekonomi sesuatu masyarakat. Atas kesedaran ini, KPTM tekad memperkasa dan memperkukuhkan prasarana pendidikan sepertimana yang terkandung dalam Rancangan Perniagaan Lima Tahunnya.

Rancangan ini akan memperinci inisiatif dan hala tuju jangka panjang KPTM dan menterjemah aspirasi MARA, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan juga Kementerian Pengajian Tinggi, bagi menjana modal insan yang cemerlang dan berkualiti.

Selaras dengan hasrat kerajaan dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, KPTM akan menyokong dengan lebih mengutamakan akses program latihan dan pendidikannya kepada komuniti luar bandar. Dengan ini, secara tidak langsung dapat menyumbang ke arah merapatkan jurang sosioekonomi, sekaligus merubah lanskap ekonomi masyarakat luar Bandar dengan tertubuhnya kampus cawangan KPTM di Semporna Sabah pada Oktober 2010 dan KPTM-KESEDAR di Gua Musang pada Jun 2011.

Bagi Pengerusi KPTM, Dato’ Sohaimi Shahadan, KPTM akan melipatgandakan usaha bagi mempertingkatkan kualiti pendidikan yang mana dua sektor menjadi fokus utama KPTM iaitu sektor Akademik dan sektor Pembangunan Infrastruktur.

Disamping itu, dalam memperkukuhkan bidang pengajian dan menetapkan tanda aras, KPTM menjalin hubungan kerjasama dengan institusi-institusi pengajian dalam dan luar Negara. Diantaranya ialah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), dan Coventry University.

Di samping pendidikan konvensional, KPTM juga mengusahakan pendidikan jarak jauh bagi memudahkan golongan berkerjaya menyambung pengajian tanpa perlu meninggalkan pekerjaan mereka, disertai dengan kursus-kursus jangka pendek bagi mereka.

 


Disediakan oleh:
Unit Komunikasi Korporat